Singapura | Pasangan didakwa terbabit dalam penipuan barangan mewah yang tidak dihantar bernilai $32 juta (RM103.79 juta) ditahan di Malaysia dan didakwa di mahkamah Singapura, hari ini.
Pasukan Polis Singapura (SPS) berkata, Pi Jiapeng, 26, dan isterinya warga Thailand, Pansuk Siriwipa, 27, tiba ke republik ini semalam dan akan menghadapi pertuduhan jenayah konspirasi penipuan dan keluar dari Singapura secara haram.
“Pasukan Polis Singapura bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang asing untuk memastikan pasangan itu dihantar ke Singapura.
“Waran tangkap dikeluarkan terhadap pasangan itu pada 16 Julai,” kata SPS seperti dilaporkan portal Straits Times.
SPF berkata, mereka menerima maklumat dari Polis Diraja Thai Rabu lalu, mengenai pasangan itu mungkin menginap di sebuah hotel di Johor Bahru, Johor.
“SPF segera meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan pasangan itu.
“Waran tangkap dilaksanakan PDRM di Johor Bahru pada 11 Ogos,” kata SPF.
Katanya, pihak berkuasa Singapura akan melakukan apa sahaja yang perlu dan dibenarkan di bawah undang-undang Singapura untuk mengejar dan membawa mereka yang melakukan jenayah di Singapura ke muka pengadilan tanpa mengira ke mana mereka mungkin melarikan diri.
Pihak berkuasa berkata bulan lalu pasangan itu melarikan diri dari Singapura dengan bersembunyi dalam kontena sebuah lori pada 4 Julai lalu.
Polis sebelum ini berkata Pi ditahan pada 27 Jun lalu kerana disyaki terbabit kesalahan menipu.
Pasportnya dirampas dan dia dibebaskan dengan ikat jamin pada hari berikutnya.
Siriwipa pula tidak ditahan ketika itu, namun sedang membantu siasatan polis serta menyerahkan pasportnya pada 30 Jun lalu.
Pasangan itu kemudiannya tidak dapat dihubungi dan melarikan diri dari Singapura pada 4 Julai lalu.
Polis berkata, kira-kira 180 laporan dibuat terhadap pasangan itu, sejak Jun lalu.
Mangsa mereka mendakwa membuat bayaran pendahuluan untuk jam tangan mewah atau beg mewah kepada pasangan itu, namun mereka gagal menghantarnya.
Pi dan isterinya, Siriwipa, diserahkan kepada SPF pada Khamis dan akan didakwa di mahkamah hari ini.
Terdahulu, pasangan itu yang tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands diiringi pegawai SPF yang membawa dua beg hitam, dipercayai mengandungi barangan peribadi pasangan itu yang ditemukan di hotel itu. SUMBER: AGENSI