KOTA BHARU | Dakwaan bekas pemimpin PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa BERSATU adalah sebuah parti kecil, lebih bersifat peribadi dan dibuat tanpa berfikir panjang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, pandangan berbentuk peribadi dan bukan dikeluarkan oleh parti tidak perlu ‘diambil kira’.
Katanya, setiap ahli politik mempunyai pandangan peribadi masing-masing, dan jika diambil kira, ianya tidak akan habis.
“Kita ambil maklum kenyataan beliau, malah ianya lebih bersifat peribadi dan diwar-warkan di media massa.
“Saya nak tegaskan di sini, kita tidak boleh mengambil kira setiap pandangan peribadi kerana ianya adalah ‘peribadi’ dan akan habis jika mengambil kira perkara itu,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab, di sini.
Beliau berkata, apa yang penting sekarang ini adalah ‘mengikat’ dan mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) itu sendiri.
Katanya, untuk itu, PN negeri Kelantan akan mengadakan satu himpunan bagi menyambut ulang tahun kedua penubuhan parti itu.
“Ini lebih penting sebenarnya dan Insya-Allah, pada 21 Ogos nanti, kita akan adakan himpunan PN negeri Kelantan sempena ulang tahun kedua penubuhan parti ini.
“Sambutan akan diadakan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini,” katanya.
Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu itu berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran melebih 10,000 orang.
Katanya, ia adalah usaha yang cukup baik pimpinan PN peringkat negeri untuk menyatu padukan dan mengukuhkan lagi talian persahabatan.
“Kita sahut seruan daripada pusat sempena sambutan ulang tahun kedua agar dapat menghimpunakan jentera parti, pengundi, penyokong serta rakyat Kelantan itu sendiri.
“Pada hari yang sama juga, Kementerian Dalam Negeri akan memberi kebenaran kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka kaunter semakan dan bayaran saman.
“Malah pada hari itu juga, setiap pembayaran saman PDRM akan diberikan diskaun sebanyak 50 peratus,” katanya.