JELEBU | Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) berjaya membantu lebih 20,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata inisiatif kerajaan dalam membantu pelajar daripada golongan B40 membabitkan penduduk luar bandar di beberapa Parlimen bagi melanjutkan pengajian itu, mendapat sambutan menggalakkan.
Beliau yang juga menteri mentor JPKM berkata, matlamat program itu adalah untuk pelajar yang ada kelulusan (dalam peperiksaan) ditawarkan tempat di IPTA atau swasta.
“Siri ketiga program kali ini bermula di daerah Jelebu ini dan difahamkan lebih 70 pelajar di sini juga telah diberikan surat tawaran bagi menyambung pengajian,” katanya kepada pemberita di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang di sini, hari ini. Terdahulu, Mahdzir berucap pada program JPKM Peringkat Parlimen Jelebu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias merangkap ahli Parlimen Jelebu serta Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.
Mahdzir berkata, JPKM menyasarkan 50,000 pelajar lepasan SPM tahun 2016-2021 di 50 kawasan Parlimen untuk mendapat surat tawaran kemasukan ke IPT bagi melanjutkan pelajaran.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, JPKM memberi manfaat dengan memberikan peluang kedua bagi anak-anak Keluarga Malaysia melanjutkan pelajaran supaya dapat mengubah masa depan keluarga kepada lebih baik dan cemerlang.
Dalam pada itu, menerusi program itu pihak PRIHATIN turut menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi sumbangan cermin mata serta komputer riba kepada pelajar.
Program itu turut membabitkan 38 IPT, antaranya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).– SUMBER : BERNAMA