Erie, Amerika Syarikat | Lelaki yang dituduh menikam Salman Rushdie dalam acara sastera mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan membunuh.
Ketika ini, Rushdie yang cedera parah menunjukkan tanda-tanda peningkatan di hospital.
Hadi Matar, 24, dihadapkan ke mahkamah di negeri New York, dengan pendakwa raya menggariskan bagaimana Rushdie telah ditikam kira-kira 10 kali dalam apa yang mereka sifatkan sebagai serangan yang dirancang.
Selepas serangan di atas pentas pada Jumaat, Rushdie telah dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan. Ejennya Andrew Wylie berkata penulis itu menggunakan ventilator dan berkemungkinan kehilangan mata, tetapi dalam kemas kini pada Sabtu dia memberitahu New York Times bahawa Rushdie telah mula bercakap semula, menunjukkan keadaannya bertambah baik.
Pengarang “The Satanic Verses” dan “Midnight’s Children”, Rushdie telah hidup dalam persembunyian selama bertahun-tahun selepas pemimpin tertinggi pertama Iran Ayatollah Ruhollah Khomeini mengarahkan pembunuhannya.
Ketika kejadian tikaman pada Jumaat mencetuskan kemarahan antarabangsa, ia bagaimanapun mendapat pujian daripada penyokong tegar Islam di Iran dan Pakistan.
Matar ditahan tanpa ikat jamin dan telah didakwa secara rasmi atas tuduhan cubaan membunuh tahap kedua dan menyerang dengan senjata.
Polis tidak memberikan maklumat mengenai latar belakangnya atau apa yang mungkin mendorongnya. SUMBER: AFP