KOTA BHARU | Seorang peninju Thailand meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pagi semalam, akibat pendarahan otak yang dialami dalam pertarungan yang disertainya di Kampung Che Deris dekat Badang di sini, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa, Mr Kittichai Chaengkhao, 28, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diserang lawan ketika menyertai perlawanan Muaythai Ambang Merdeka 2022 di Kampung Che Deris, Badang, di sini, kelmarin
Beliau berkata, mangsa pada mulanya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Badang pada jam 1 pagi semalam, sebelum dirujuk ke HRPZ II tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 10.57 pagi, selepas beberapa jam bertarung nyawa akibat berlaku pendarahan di dalam otak.
“Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Chumpong, Thailand, berlawan dengan seorang peserta dari Kuala Lumpur, tetapi kemudian tewas dan jatuh sebelum tidak sedarkan diri dan dibawa mendapatkan rawatan. “Sebaik segala urusan siasatan dilakukan, jenazah dibawa pulang untuk diserahkan kepada waris melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
“Siasatan mendapati insiden ini tidak membabitkan sebarang unsur jenayah sebaliknya kemalangan ketika bersukan selain penganjur pertandingan juga mempunyai permit lengkap,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK), di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki turut mengulas berkaitan kekecohan antara penyokong yang berlaku pada Aksi Liga Perdana antara Kelantan FC menentang Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Rabu lalu.
“Pihak kami akan membawa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) atau Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) jika perlu bagi memastikan keadaan terkawal di sepanjang perlawanan selepas ini.
“Bagaimanapun, pertemuan dengan pihak pengurusan stadium sudah diadakan bagi memantapkan lagi penugasan agar penyokong dapat dikawal sebaiknya pada perlawanan akan datang.
“Kita juga dimaklumkan bahawa sekuriti stadium sendiri terdiri daripada lebih 40 ahli yang diharap dapat sama-sama membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Katanya, Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) juga diarahkan bertugas setiap kali perlawanan tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. SUMBER: BERITA HARIAN