Sempena bulan Kemerdekaan, Journal Malaysia ingin memaparkan bahan bersejarah dan penting dalam urusan kerajaan yang kian dilupakan.
Bahan penting itu disebut sebgai Cap Mohor. Cap mohor atau cap meterai adalah alat untuk membuat kesan dalam lilin, tanah liat, kertas dan sebagainya termasuk pencetakan timbul di atas kertas, dan juga kesannya.
Tujuan asal adalah untuk mengesahkan dokumen, pembungkus untuk sampul surat, atau penutup bekas atau bungkusan yang memegang barang-barang berharga atau objek lain. Raja Senggora memanggil mari, cap dipinta pulangkan beri.
Petikan daripada teks sastera tradisional, Syair Maulana yang dipercayai dikarang sekitar tahun 1812 itu turut menyentuh cap mohor atau sebelum ini lebih dikenali sebagai cap, iaitu tanda kebesaran Raja.
Peranan cap itu juga pernah dicatat melalui surat perjanjian yang didokumentasi antara Banjarmasin dengan Belanda yang turut menyebut ‘Ini surat hormat dengan cap kita sendiri dan cap-cap anak-anak kita dan cap lain Raja-raja.’ Istilah mohor
Ketua Kurator Koleksi Asia Tenggara, Perpustakaan British, Datuk Dr Annabel Teh Gallop, berkata istilah mohor yang berasal daripada Parsi masuk ke dalam bahasa Melayu pada kurun ke-20 dan sejak itu ia digunakan bersama dengan perkataan cap.
Di negara ini katanya, cap mohor Pahang daripada surat perjanjian dengan Portugis pada tahun 1614, menjadi satu-satunya sumber bagi nama Sultan Pahang yang memerintah ketika itu, iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah.
“Cap ini adalah cap mohor Melayu yang tertua di negara ini dan menjadi satu-satunya sumber untuk nama Sultan Pahang yang memegang takhta pada masa itu.
“Kebanyakan teks Melayu yang ada tidak menyebut nama Sultan sebaliknya hanya memberi rujukan Almarhum. Cap ini sebaliknya mengandungi nama peribadi sultan yang memerintah pada ketika itu,” katanya ketika pembentangan makalahnya, Pengalaman Menangani Cap Mohor Melayu, di sini.
Cap mohor Pahang itu juga, antara beberapa cap mohor yang boleh ditemui sebelum tahun 1650 masihi.
Gallop yang membuat kajian mengenai cap mohor Melayu berkata, setakat ini terdapat lebih daripada 2,100 cap mohor bertulisan Arab di Asia Tenggara daripada abad ke-18 dan abad ke-19.
Kebanyakan daripada cap mohor ini kata Gallop, berasal daripada Acheh, manakala selebihnya pula dari seluruh Nusantara.
Penggunaan cap mohor kini tidak lagi meluas
Meskipun penggunaan cap mohor tidak seluas beberapa abad sebelum ini, ia masih memainkan peranan penting, misalnya seperti yang berlaku kepada masyarakat di Gugup yang terletak di pedalaman Jambi.
“Masyarakat di situ masih menyimpan surat piagam Sultan Jambi daripada abad ke-18 sebagai bukti hak tanah dan sedekad lalu, ia digunakan bagi melindungi hak masyarakat tempatan daripada satu syarikat yang mahu membuka ladang di kawasan itu.
“Peristiwa ini menunjukkan peranan penting cap mohor itu dalam konteks sosial,” katanya. SUMBER: ARKIB NEGARA dan BERITA HARIAN