KUALA TERENGGANU | BERSATU Terengganu meminta UMNO mendedahkan nama ahli dan pemimpin parti itu yang didakwa keluar parti dan menyertai UMNO dalam satu majlis di Kemaman pada Sabtu.
Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, setakat pengetahuannya jumlah sebenar individu yang keluar BERSATU dan menyertai UMNO bukan sebagaimana dinyatakan oleh Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
“Setakat yang kita tahu, ada dua atau tiga orang iaitu bekas ahli UMNO yang masuk BERSATU dan bertanding pada pemilihan parti tapi kalah. Bila kalah dia patah balik masuk UMNO, jadi masuk BERSATU semata-mata untuk pegang jawatan.
“Jawatankuasa BERSATU Bahagian, Srikandi dan Armada Kemaman juga mengatakan tiada yang keluar parti dan masuk UMNO. Jadi kita minta UMNO dedahkan nama sekurang-kurangnya 50 orang dari mereka,” katanya memetik Sinar Harian pada Ahad.
Razali turut menyifatkan ia sebagai propaganda politik bagi melemahkan BERSATU dan Pas di Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun kata beliau, perkara tersebut tidak memberi impak dan menjejaskan parti kerana dakwaan kononnya 700 bekas penyokong dan ahli Pas serta BERSATU masuk UMNO bukan gambaran sebenar.
“Ini perkara biasa bila hampir PRU. Namun ia tidak menjejaskan parti kerana beberapa individu itu adalah orang mahu pegang jawatan dan laba dalam Bersatu, apabila kalah dia masuk UMNO balik,” katanya.
Pada Sabtu, dilaporkan seramai 700 bekas penyokong serta ahli Pas dan BERSATU memutuskan untuk keluar parti dan menyertai UMNO.
Borang keahlian baharu itu diserahkan kepada Ahmad Said sempena majlis perasmian pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Terengganu, di Pantai Penunjuk, Kijal, Kemaman pada Sabtu.