KOTA BHARU | Lebih 15,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan Majlis Himpunan Perikatan Nasional (PN) yang diadakan di Stadium Muhammad IV, di sini, Ahad ini.
Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata program bermula jam 5 petang itu akan menyajikan pelbagai program menarik untuk pengunjung negeri ini termasuk persembahan artis seperti Sufian Suhaimi.
Malah, katanya, kaunter bayaran saman polis turut dibuka dengan menawarkan 50 peratus potongan harga bagi mereka yang ingin membayar saman pada hari berkenaan.
“Kita juga menawarkan tiga motosikal sebagai hadiah utama cabutan bertuah bagi pengunjung yang hadir dan berdaftar dalam program berkenaan.
“Selain pelbagai persembahan dan gerai menarik, kita juga menyediakan perkhidmatan Mobile Bas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memberi kemudahan orang ramai untuk memperbaharui MyKad dengan pantas.
“Justeru, saya ingin menjemput orang ramai untuk memeriahkan lagi program pada 21 Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program menyantuni penduduk PPR dengan BBQ santai, di sini, malam tadi.