KUALA LUMPUR | Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan telah bertemu dengan delegasi pimpinan Perikatan Nasional (PN) pada waktu lunch (tengah hari), itu bukan perjumpaan rasmi.
“Bagi saya kenyataan Ismail Sabri Yaakob mendakwa telah bertemu delegasi PN adalah penipuan dan tidak beradab. Ismail perlu jelaskan kenapa dia menipu media dan rakyat.
“Semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Majlis Presiden parti-parti dalam kerajaan. Semua Presiden parti ada dalam Majlis Presiden itu. Itu barulah Perdana Menteri yang berani. Bercakap depan-depan secara rasmi, bukan sembang senyap-senyap waktu lunch,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika belum betul-betul berjumpa, kata sajalah belum jumpa.
Menurutnya, wakil rasmi yang PN namakan adalah empat orang iaitu Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, Penolong Setiausaha Agung DatukSeri Takiyuddin Hassan, Bendahari Agung Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Ketua Penerangan Datuk Seri Azmin Ali.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata, beliau mengadakan pertemuan bersama PN dua minggu lalu.