KOTA BHARU | Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi menjangkakan pertembungan dua penjuru antara Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) di semua kerusi di Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, BERSATU sememangnya mahu satu gelanggang dengan BN supaya gabungan itu dapat ‘dibelasah’ cukup-cukup pada PRU nanti.
“Semua kerusi di Kelantan kita jangka pertandingan dua penjuru, dan saya yakin pucuk kepimpinan tertinggi akan mengambil langkah terbaik untuk menyusun supaya 2 penjuru nanti.
“Lagipun, kita nak sangat satu gelanggang dengan BN dan kita tak sabar, sebab kita nak balung dan belasah cukup-cukup.
“Dari segi pembahagian kerusi, saya percaya bahawa kerusi antara BERSATU dengan PAS sudah berjalan cuma serah kepada pucuk kepimpinan tertinggi untuk putuskan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program menyantuni penduduk PPR dengan BBQ santai, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu tidak terkejut sekiranya PRU-15 akan diadakan seawal hujung tahun ini atau awal tahun depan.
“Jadi kita minta jentera kita bersiap sedia dan kita nak kukuhkan lagi kekuatan memandangkan ada pertambahan pengundi baharu yang ketika ini sudah mencecah 120,000 pengundi di Parlimen Kota Bharu.
“Kita perlukan jentera lebih besar supaya dapat memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu dan tiga DUN di bawah payung PN,” katanya.