KOTA KINABALU | Parti Warisan (Warisan) sudah lama mengarahkan kepimpinan di peringkat bahagian untuk menyenaraikan calon-calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setiap bahagian telah diminta kemukakan senarai calon yang berpotensi namun, pada akhirnya kata pemutus akan diberikan oleh kepimpinan tertinggi parti.
Beliau berkata, senarai itu tidak termasuk calon yang mewakili Warisan di Semenanjung Malaysia.
“Namun, kita akan minta laporan daripada semua pengerusi perhubungan di beberapa negeri yang sudah dilantik di Semenanjung.
“Mereka akan maklumkan kepada kita kerana mereka lebih mengetahui siapa yang layak dan siapa yang boleh menawarkan diri sebagai calon di kawasan mereka.
“Jika DAP, UMNO, PKR mahupun Pas boleh bertanding di Sabah takkan Warisan tidak boleh bertanding di Semenanjung, semua parti berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) layak untuk bertanding,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) di Ibu Pejabat Warisan hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas sama ada Warisan akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah.
Beliau berkata, seperti dinyatakan sebelum ini, jika ada kerjasama bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) maka, senarai calon akan diperhalusi bersama PBS. Namun, jika tiada kerjasama maka, tiadalah perbincangan.
Mengulas sama ada Warisan akan bergerak solo atau membentuk kerjasama, Mohd. Shafie masih enggan mendedahkan perkara berkenaan.
“Kita akan dedahkan apabila tiba masa yang sesuai. Setakat ini, kita ingin memberi fokus kepada mesyuarat agung tahunan parti,” katanya.
Menurut beliau, mesyuarat AMT hari ini juga tidak membincangkan secara terperinci tentang kerjasama mahupun gabungan dengan mana-mana parti menjelang PRU-15.
Seperti dinyatakan sebelum ini, Warisan mahu memperkukuhkan kedudukan parti sendiri terlebih dahulu sebelum bercakap soal kerjasama.
Pada PRU-14, Warisan memenangi lapan daripada 26 kerusi Parlimen di Sabah dan Labuan termasuk kerusi Parlimen Lahad Datu yang disandang oleh Datuk Mohamaddin Ketapi yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas. SUMBER: UTUSAN