KOTA BHARU | Datuk Seri Mohamad Hassan hanya mampu ‘sembang kosong’ untuk melepaskan jawatannya Timbalan Presiden UMNO jika BN gagal memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Malah, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu tidak akan rugi apa-apa jika kehilangan kerusi Timbalan Presiden UMNO memandangkan ia bukan jawatan besar.
Tambahan pula, katanya, Mohamad Hassan dilihat sebagai ‘lame duck’ kerana walapun mempunyai jawatan besar tetapi tidak mempunyai kuasa dan peranan apa-apa.
“Ini kerana kita tahu (Datuk Seri) Najib Razak dan (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi yang main peranan dalam UMNO serta BN.
“Walaupun Najib sudah tiada jawatan, tapi kita tahu dia masih lagi ‘big factor’ sebagai Presiden UMNO, manakala Ahmad Zahid adalah timbalannya.
“Jadi, persoalan di sini Tok Mat ini siapa? Dia tidak rugi apa-apa jadi boleh lah nak bertaruh. Insya-Allah dia akan kekal tanpa jawatan selepas PRU nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program menyantuni penduduk PPR dengan BBQ santai, di sini, malam tadi.
Media melaporkan Timbalan Pengerusi BN itu berkata dia bersedia melepaskan jawatan sebagai timbalan presiden Umno sekiranya BN gagal memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Mohamad, yang juga pengarah pilihan raya BN menyifatkan PRU15 sebagai pertarungan antara hidup dan mati bagi gabungan itu.