BATU PAHAT | Selepas enam hari hilang, warga emas wanita ditemukan dalam keadaan lemah berdekatan kolam ikan di Kampung Parit Sayang, Senggarang hari ini.
Warga emas berkenaan, Painah Siwan, 79, ditemui pada jam 12.30 tengah hari oleh orang awam yang menyertai operasi mencari dan menyelamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi laman Facebooknya memaklumkan, warga emas itu ditemui dalam keadaan lemah.
“Alhamdulillah Pn Painah Siwan 79 tahun yang hilang sejak enam hari lalu ditemui masih hidup berdekatan kolam ikan sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.
“Dia ditemui dalam keadaan lemah. Tahniah kepada PDRM, ATM, PGA, JPAM, RELA, BOMBA, NGO dan orang kampung yang gigih mencari tanpa mengira penat dan lelah.
“Tahniah dan syukur,” katanya.
Sebelum ini, Painah dilaporkan hilang oleh anaknya apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari daun kelapa sawit di kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Sayang di sini, Rabu lalu.