KUALA LUMPUR | Cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dibawa Kabinet, esok.
Perkara itu dinyatakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang memberikan komitmen beliau sendiri akan mengemukakan cadangan itu kepada Kabinet.
“Saya memberi jaminan kepada YB (Yang berhormat) selepas ini, saya akan bawa ke Kabinet ini pandangan Dewan Negara walaupun bukan semua kerana ada ahli yang tidak bersetuju penubuhan RCI ini. Ini menjadi tanggungjawab saya untuk bawa ke Kabinet Rabu ini (esok) dan saya akan lakukan,” katanya menggulung perbahasan usul berkaitan projek LCS, di Dewan Negara, hari ini.
Usul itu dikemukakan Senator Lim Hui Ying mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (1) berkaitan isu berkepentingan awam yang memerlukan segera dibahaskan. Seramai 10 ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan kira-kira sejam itu.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Hishammuddin turut menjelaskan status menyahklasifikasikan (declassify) Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) sudah dimulakan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
Katanya, Pengauditan Forensik Projek LCS pula akan mengambil masa sementara menunggu kelulusan Peguam Negara kerana dokumen itu bukan milik kerajaan sebaliknya dimiliki Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Beliau berkata, apabila semua dokumen itu dinyahklafikasikan nanti, orang ramai boleh melihat sendiri siapa yang rasuah, apa yang dikatakan penyelewengan itu untuk pertimbangan masing-masing.
Katanya, Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS mengambil sedikit masa mendapat kelulusan Peguam Negara.
Mengulas mengenai peralatan LCS yang sudah dibeli dikatakan sudah usang seperti dalam laporan Jawatankuasa
Kira-kira Wang Negara (PAC), perkara itu sudah dijawab Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, yang mana ada sokongan jaminan sehingga 30 tahun atas sebarang risiko peralatan itu.
Katanya, sokongan dan jaminan itu membabitkan barangan utama termasuk enjin, sistem janakuasa, radar, sonar, meriam dan misil.
Beliau turut mengulangi keputusan Kabinet yang bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak pengeluaran produk tulen (OEM) dan vendor tempatan seterusnya memuktamadkan perancangan perolehan LCS seperti yang diperlukan oleh TLDM.
Hishammuddin turut menegaskan sekarang bukan masa untuk mencari salah siapa dan menuduh kelewatan pihak yang terbabit.
“Saya nak melihat ke hadapan dan projek ini diteruskan dan siapa yang salah di bawa ke muka keadilan dan saya memberi jaminan perancangan yang dibuat mendapat komitmen tidak belah bagi dari saya dan pihak yang berkepentingan,” katanya.
“Fokus saya kini kepada kerja yang perlu dilakukan termasuk rundingan dengan OEM, bank yang menuntut pembayaran tertangguh dan kerja dengan vendor,” katanya.
Hishammuddin turut menjelaskan tiada sebarang peruntukan tambahan dalam tempoh enam bulan proses mobilisasi itu dan tiada keperluan untuk projek itu diteruskan syarikat lain kerana akan mengambil masa memilihnya, yang akan melewatkan lagi projek berkenaan. SUMBER: BERITA HARIAN