GUA MUSANG | Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik kejadian di rumahnya di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Lojing, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa, Nur Asyqin Qistina M Nor Zawawi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kuala Betis.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, ketika bapa mangsa sampai di rumahnya, dia dimaklumkan oleh isterinya bahawa anak perempuan mereka telah terbaring tidak sedarkan diri di dalam bilik tidurnya dan dipercayai terkena renjatan elektrik semasa berlaku ribut petir.
Katanya, bapanya terus bawa anak perempuannya ke Klinik Kuala Betis dam sebaik sampai dia dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa anak perempuannya telah meninggal dunia.
“Hasil siasatan awal mendapati, selepas selesai solat Asar di surau hadapan rumah, bapa mangsa mendengar bunyi letupan petir dan dia pulang ke rumah dan telah dimaklumkan bahawa tiada elektrik.
“Bapa mangsa menghubungi pembaiki invertor solar yang memaklumkan bahawa invertor solar rumahnya telah rosak akibat daripada panahan petir.
“Lebih kurang 15 minit kemudian ibu mangsa memaklumkan kepada bapa mangsa bahawa anak mereka pengsan di tempat tidur,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata,bapa mangsa kemudian pergi ke tempat tidur anaknya dan didapati mangsa pengsan dan di tangan kanan anaknya terdapat telefon bimbit dan ada pengecas telefon bimbit berdekatan anaknya.
Menurutnya, tangan kanan anaknya terdapat kesan lecur dan terbakar pada tilam tempat tidur.
“Bapa mangsa membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan anaknya telah disahkan meninggal dunia .
“Hasil siasatan di tempat kejadian didapati tidak terdapat keterangan yang boleh mengaitkan sebab kematian mangsa adalah disebabkan perlakuan jenayah dan dipercayai kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap invertor solar rumah pengadu.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang pada jam 8 malam tadi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.