KUALA LUMPUR | Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mewujudkan Pasukan Petugas Penerbangan Lestari dalam usaha membantu inisiatif negara mencapai pengurangan jejak karbon menjelang 2050.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pasukan yang diketuai oleh MITI itu bertujuan menyediakan dasar, cadangan dan menyelaras pelaksanaan perkongsian projek awam-swasta.
Selain itu, katanya, pasukan itu akan menjadi inisiatif negara untuk membantu mencapai pengurangan jejak karbon dalam industri aeroangkasa, termasuk pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) di Malaysia.
“Pasukan ini diwujudkan hasil maklum balas pihak industri untuk melihat bagaimana sektor awam dan swasta boleh mewujudkan satu jalinan kerjasama bagi membangunkan dan menjajarkan dasar-dasar aeroangkasa negara membabitkan pemain tempatan dalam industri aeroangkasa ini.
“Ini bertujuan supaya matlamat SAF itu tercapai kerana kita mahu SAF ini dapat menjadi matlamat untuk satu jangka masa yang telah ditetapkan.
“Ini juga selaras dengan kerangka inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana kita mahu menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai negara yang dapat membina infrastruktur melalui pasukan petugas ini, tetapi menjadi peneraju dalam mempelopori industri aeroangkasa dengan menggunakan teknologi hijau ke arah persekitaran yang bersih dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2022 (MyAERO22) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Datuk Charon Wardini.
Mohamed Azmin berkata, pasukan petugas itu terdiri daripada agensi kerajaan dan sektor swasta termasuk Malaysia Aviation Group, Air Asia dan Petronas.
Setakat ini, katanya, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh berkenaan yang bersetuju membantu menjayakan matlamat itu.
“Kita telah mengadakan perbincangan yang pertama. Kita masih kumpulkan maklumat balas daripada pihak industri supaya beberapa parameter dapat kita tetapkan.
“Malah, Malaysia Airlines telah pun memulakan penerbangan sulung dengan menggunakan teknologi SAF pada 5 Jun lalu yang berlepas dari Singapura ke Kuala Lumpur.
“Ini adalah kejayaan bagi Malaysia Airlines untuk terbabit dalam teknologi hijau seperti ini,” katanya.
Mengenai penggunaan secara berterusan SAF itu, Mohamed Azmin berkata, pasukan petugas berkenaan akan memberi cadangan kepada pihak kerajaan untuk melaksanakannya kerana ia membabitkan pelbagai pemegang taruh yang berlainan daripada kementerian dan agensi lain.
“Dalam perbincangan itu nanti, kita akan kemukakan beberapa syor dan cadangan kepada pihak kerajaan,” katanya.
Terdahulu ketika berucap, Mohamed Azmin berkata, industri aeroangkasa di Malaysia sudah berada pada trajektori menaik untuk membantu meletakkan Malaysia sebagai kuasa serantau dan penting dalam rantaian bekalan industri berkenaan.
Beliau berkata, tahun lalu, industri itu mencatatkan pelaburan bernilai RM104.7 juta, jumlah perdagangan (RM13.84 bilion) dan hasil RM12.2 bilion.
“Pakej kerja bernilai RM2 bilion juga telah dianugerahkan kepada industri aeroangkasa tempatan membabitkan perkhidmatan menyelenggara, membaiki dan membaik pulih (MRO) bernilai RM600 juta yang dijangka dilaksanakan menjelang suku keempat tahun ini.
“Selain itu, The Farnborough International Airshow 2022 yang diadakan bulan lalu menyaksikan syarikat dari Malaysia memperoleh RM572.6 juta tawaran perniagaan,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan terus komited untuk memudahkan pertumbuhan industri aeroangkasa dengan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Katanya, inisiatif itu akan diadakan secara bersepadu dengan tiga bidang tumpuan oleh MITI dari segi hala tuju dasar dan inisiatif strategik dalam tempoh terdekat iaitu perdagangan dan pembangunan mampan; rantaian bekalan daya tahan dan pembangunan modal insan.