KUALA TERENGGANU | Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diingatkan supaya tidak menjadi budak suruhan “Presiden Parti” bagi menjaga survival beberapa orang pemimpin parti yang ditolak oleh rakyat.
Ketua Penerangan BERSATU Terengganu, Badrolhisham Shafie berkata sesebuah kerajaan dibentuk untuk melaksanakan amanah bagi kepentingan negara dan rakyat.
“Bagi memenuhi hasrat ini, kerajaan perlu dilihat bertindak secara telus dalam urus tadbir negara.
“Perdana Menteri harus menerima hakikat, kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mendominasi pentadbiran negara sejak merdeka telah ditumbangkan oleh rakyat kerana banyaknya skandal-skandal berskala besar.
“Salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan peringkat tertinggi sehingga imej Malaysia berada dalam senarai indek mengamal rasuah antara tertinggi,” katanya.
Badrolhisham mengulas kenyataan Ismail Sabri pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, yang berkata kerajaan pimpinannya adalah kerajaan bersama yang menekankan konsep Keluarga Malaysia dan penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbirannya gagal.
Ismail Sabri berkata, penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan mereka bukannya mempertahankan parti politik.
Dalam pada itu, Badrolhisham berkata Ismail harus tegas mentadbir negara atas kapisiti beliau sebagai ketua kerajaan bukan dilihat sebagai boneka mengikut arahan pemimpin parti politik yang diwakili.
Katanya, kerajaan Keluarga Malaysia yang diutarakan oleh Ismail dibina atas prinsip perkongsian kuasa antara parti-parti politik yang mengharapkan kejujuran dan keupayaan beliau melaksanakan janji-janji yang dipersetujui bersama.
“Bertegaslah untuk membina negara dari segala kerosakan yang telah berlaku. Bertindaklah sebagai perdana menteri menjaga kepentingan negara dan rakyat.
“Jangan biarkan perosak terus menjadi ‘duri dalam daging’. Dalam rakyat mengharapkan perubahan besar urus tadbir kerajaan bagi Malaysia bangkit semula,” katanya.- Berita BERSATU