KUALA NERUS | Perikatan Nasional (PN) akan menetapkan tarikh baharu untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri.
Bendahari PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada masa ini, tarikh baharu itu belum ditetapkan tetapi menegaskan perjumpaan dan perbincangan dengan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sudah diadakan secara santai sambil makan tengah hari sebelum ini.
Katanya, walaupun perjumpaan yang turut disertai Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu secara santai, banyak perkara dan pelbagai isu diutarakan.
“Saya antara empat pemimpin yang diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan PN akan berusaha tetapkan tarikh baharu untuk berjumpa dengan Ahli Parlimen Bera,” katanya kepada media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 408 daripada 663 bekas pegawai dan anggota polis di negeri ini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan dan Perjawatan), Deputi Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin.
Mengulas kenyataan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang menyifatkan perjumpaan Ismail Sabri dengan Hamzah dan Ahmad Samsuri bukannya perjumpaan rasmi, Ahmad Samsuri enggan mengulas lanjut dan menganggap kenyataan itu hanya pandangan peribadi dan tidak sedikit pun membantutkan usaha ke arah perjumpaan rasmi membabitkan delegasi yang dilantik pimpinan tertinggi parti.
“Kenyataan Wan Saiful tidak sedikit pun menjejaskan usaha untuk kita sentiasa bertemu dan berbincang serta mengadakan pertemuan membabitkan delegasi yang dilantik pimpinan tertinggi parti.
“Saya sebagai salah seorang antara empat anggota delegasi tidak akan berputus asa dan masih berusaha untuk mengadakan perjumpaan itu,” katanya.