PETALING JAYA | Satu pertemuan akan diadakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Khamis ini bersama kumpulan wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing berhubung kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pertemuan itu juga akan membabitkan wakil Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers).
“Minggu lalu, saya dengan beberapa Exco Srikandi (BERSATU) mengadakan pertemuan dengan Family Frontier ini dan kemudian selepas itu, saya berjumpa Wan Junaidi.
“Jadi menerusi pertemuan itu, saya melahirkan hasrat dan menyampaikan suara pimpinan Srikandi dan beliau akan berjumpa kumpulan terbabit untuk perbincangan lanjut,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan keperluan untuk membuat pindaan Perlembagaan berkaitan isu kerakyatan anak wanita warganegara tempatan yang lahir di luar negara.
Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.
Susulan keputusan itu, peguam, Datuk Gurdial Singh Nijar, dilaporkan berkata, pihaknya akan memfailkan notis rayuan itu dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan Mahkamah Rayuan.
Mas Ermieyati berkata, pertemuan itu akan membolehkan kumpulan itu membentangkan cadangan atau perkara yang boleh dibawa untuk pindaan.
“Oleh itu, cadangan terbabit akan boleh dibawa kepada jawatankuasa khas untuk bincangkan tentang isu kewarganegaraan itu,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir Mesyuarat Exco Srikandi BERSATU yang dipengerusikan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.
Sementara itu, Rina menjelaskan pindaan perlembagaan mengenai hak kewarganegaraan bukan bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tetapi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Sebenarnya sejak tahun lalu lagi, dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini sudah diutarakan mengenai perkara itu selain kementerian telah mengadakan perjumpaan dengan wanita terbabit dan kita juga sudah mengutarakan keperluan untuk mengadakan kesaksamaan gender.
“Memang hal itu sudah dibawa ke dalam pengetahuan Kabinet dan saya kira Menteri Dalam Negeri telah bercakap bahawa akan diusahakan pindaan perlembagaan terbabit,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN