KOTA BHARU | ‘I Saw Tower’ akan menjadi ‘mata-mata’ Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) memantau pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di luar tong sampah.
Yang Dipertua MDKPI, Mohd Anis Hussein berkata, I Saw Tower adalah menara yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang dicipta atau inovasi pihaknya.
Katanya, menara setinggi 6.5 meter itu akan ditempatkan di beberapa lokasi yang dikenal pasti.
“Apabila adanya CCTV tersebut, MDKPI dapat memantau salah laku dan tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang sampah di luar tong sampah selama 24 jam.
“Menara tersebut mampu memantau kawasan pembuangan sampah pada jarak 50 meter dan ia membolehkan pihak kami mengenal pasti pihak terbabit sebelum mengeluarkan saman,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Jelajah Kelantanku Bersih dan Pelancaran Zon Bersih Indah Ceria, di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Husin di MDKPI, di sini.
Mohd Anis berkata, menara tersebut dibina dengan menggunakan tapak konkrit tetulang yang seberat satu tan.
Katanya, dinding menara tersebut diperbuat daripada ‘polycarbonate’ bergambar yang memaparkan gambar kempen larangan membuang sampah.
“Didalam menara tersebut dilengkapi dengan CCTV dan dikuasakan oleh bateri kereta yang mampu bertahan selama lima hari dengan rakaman berterusan.
“I Saw Tower ini adalah mudah alih dan MDKPI akan mewujudkan empat lagi menara bagi memastikan tiada sampah berselerak di luar tong sampah yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Dr Izani memuji dan menyokong inovasi yang dilakukan oleh MDKPI bagi memastikan Kok Lanas bebas daripada sampah.
Katanya, kewujudan I Saw Tower ini mampu membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewujudkan persekitaran yang lebih bersih.
“Saya berharap inovasi ini dapat dikembangkan ke PBT seluruh negeri Kelantan agar kempen Kelantanku Bersih lebih berjaya,” katanya.
Terdahulu, Dr Izani turut mendengar taklimat lima Zon Bersih, Indah dan Ceria yang disampaikan oleh Setiausaha MDKPI, Azman Ghazali.