NEW DELHI – Space Kidz India mengibarkan bendera negara itu pada ketinggian 30 kilometer (km) di atas Bumi sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara berkenaan yang ke-75, lapor laman berita Wion News kelmarin.
-Advertisement-
Space Kidz India merupakan sebuah pertubuhan bermatlamat untuk melahirkan saintis muda negara dan memupuk kesedaran mengenai dunia angkasa lepas tanpa sempadan kepada kanak-kanak.
Bendera negara India itu berkibar pada altitud 32 kilometer di atas Bumi dengan menggunakan belon.
“Ini merupakan tanda penghormatan dan penghargaan buat semua pejuang kebebasan dan kebanggaan buat mereka yang bertungkus-lumus untuk membuatkan India berbangga setiap hari,” kata Space Kidz India.
Organisasi itu baru-baru ini melancarkan sebuah satelit digelar AzaadiSat yang dibina oleh 750 pelajar sekolah perempuan dari seluruh India.
Satelit itu bagaimanapun diletakkan di bahagian orbit tidak stabil dan sudah tidak dapat digunakan, kata Organisasi Kajian Angkasa Lepas India. – SUMBER: Agensi