IPOH | Majlis Daerah Gerik (MDG) memberi kebenaran merancang bagi projek rintis perlombongan nadir bumi, lantanid di Mukim Kenering, Gerik, daerah Hulu Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan fizikal projek itu belum dimulakan buat masa ini kerana kebenaran merancang bersyarat itu juga tertakluk kepada dua lagi pematuhan yang perlu dipatuhi iaitu laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).
“Kita difahamkan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim) bahawa kebenaran merancang bersyarat mengenai projek rintis itu sudah dikeluarkan pada minggu lalu.
“Kebenaran merancang memang sudah dikeluarkan namun ianya bersyarat, bermakna pada waktu sama kita perlu juga mendapat dua lagi sijil (kelulusan) termasuk EMP yang masih belum dapat,” katanya kepada media selepas program Jalinan MESRA bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya, di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman.
Saarani berkata demikian ditanya mengenai laporan portal atas talian The Edge Markets yang mendedahkan projek rintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktof (NR-REE) yang dicadang dibangunkan di mukim Kenering, Hulu Perak akan dilaksanakan pada bulan ini.
Laporan itu memetik Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai berkata, projek itu dijangka bermula pada bulan ini dengan pengeluaran pertama hasil mineral itu dijangka pada November ini.
Saarani turut mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri akan memenuhi janji supaya segala prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka bagi projek itu akan dipenuhi sebelum membenarkan operasi syarikat yang mengendalikan perlombongan itu.
“SOP berkenaan begitu ketat dan kita wajib memenuhi keseluruhannya sebelum operasi perlombongan itu boleh dilaksana,” katanya.
Mengenai jangkaan tempoh masa mendapatkan dua lagi kelulusan terbabit, Saarani berkata, ia bergantung pada sejauh mana Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengatasi kekangan khususnya bekaitan keanggotaan bagi menjalankan siasatan dan penilaian.
“Ia bergantung pada JAS yang mana kita difahamkan mereka pun mempunyai kekangan bilangan kakitangan yang diperlukan untuk membuat penyiasatan, kerana ada banyak permohonan untuk mendapatkan sijil berkenaan (EMP) daripada operasi selain dari ini (perlombongan lantanid),” katanya.
Dalam pada itu, Saarani berkata, pihaknya sangat berharap supaya projek rintis terbabit diluluskan sekali gus bakal memberi pulangan lumayan kepada negeri itu.
Terdahulu menerusi ucapannya, Saarani berkata selain Perak, terdapat tiga lagi negeri berhasrat meneroka perlombongan lantanid iaitu Kedah, Terengganu, dan Pahang. SUMBER: BERITA HARIAN