“MERDEKA! Merdeka! Merdeka!”.
Laungan keramat oleh Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra itu bergema di segenap penjuru Padang Kelab Selangor, lebih 50 tahun lalu dan setiap 31 Ogos, kata-kata itu sekali lagi akan dilaungkan.
Ketika ia dilontarkan dari mulut Perdana Menteri pertama, kata-kata itu disambut oleh lebih 20,000 rakyat Tanah Melayu yang memenuhi padang berkenaan dengan penuh semangat dan emosi.
Mengisi era pasca merdeka selepas itu, sorotan pelbagai peristiwa hitam ketika dijajah dan pengorbanan ratusan pejuang negara menuntut kemerdekaan berulang kali bermain dalam pemikiran, sebaik menjelang 31 Ogos setiap tahun. Namun kebelakangan ini, jiwa ‘anak merdeka’ seolah-olah makin pudar, khususnya dalam kalangan golongan muda yang lebih cenderung meraikannya menerusi pelbagai gaya berbeza.
Lebih menyedihkan apabila laungan merdeka tidak lagi menjadi sahutan, sebaliknya sekadar halwa telinga ketika rancak lagu Allahyarham Sudirman, ‘Tanggal 31’ diputarkan di corong radio.
Sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata wujud pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai erti kemerdekaan, termasuk erti bangsa yang sering disalah anggap sebagai Melayu, Cina atau India.
“Mengikut takrifan undang-undang, bangsa merujuk kepada rakyat sesuatu negara, manakala Cina, Melayu atau India adalah keturunan. Hal ini mungkin dipandang remeh, namun jika pengertian bangsa pun sudah gagal difahami, apatah lagi maksud merdeka yang hanya dianggap hari cuti umum untuk beriadah.
“Justeru, sistem pendidikan perlu diperkukuhkan, khususnya dalam memupuk semangat cintakan negara dan menghargai pengorbanan wira bangsa ketika menuntut kemerdekaan dahulu,” katanya kepada BH.
Kay Kim turut kecewa kerana sesetengah rakyat melepaskan amarah dengan memijak dan membakar Jalur Gemilang demi kepentingan politik, sedangkan bendera kebangsaan itu bukan melambangkan mana-mana parti politik atau pemerintah, sebaliknya simbol negara yang perlu dihormati dan disanjung.
“Sungguh dangkal pemikiran seseorang yang memijak dan membakar Jalur Gemilang kerana ingin tunjukkan kemarahan kepada kerajaan atau parti politik. Ia jelas menunjukkan pengetahuan geografi dan sejarah negara terus diketepikan demi meraih populariti serta menjayakan agenda peribadi,” katanya.
KRONOLOGI HARI KEBANGSAAN: 27 Julai 1955
Pilihan Raya Persekutuan pertama diadakan. Senario politik ketika itu menyaksikan UMNO bekerjasama dengan MCA yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949 dan MIC ditubuhkan pada Ogos 1946 bagi membentuk Parti Perikatan.
10 Ogos 1955
Perdana Menteri yang diberi jolokan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra membentuk Kabinet pertama dianggotai oleh enam wakil Melayu, tiga wakil Cina dan dua wakil India.
18 Januari-6 Februari 1956
Tunku Abdul Rahman Putra mengetuai rombongan rundingan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di London.
8 Februari 1956
Perjanjian Merdeka telah dimeterai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
20 Februari 1956
Tunku Abdul Rahman Putra membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.
21 Mac 1956
Suruhanjaya Perlembagaan Reid, sebuah suruhanjaya bebas dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
28-29 Disember 1956
Tunku Abdul Rahman Putra dicabar menyelesaikan isu pemberontakan komunis. Susulan itu, Rundingan Baling diadakan pada 28-29 Disember 1956 bersama Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
30 Ogos 1957
Detik 12 tengah malam, bendera Union Jack diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, sekali gus menandakan negara mengecapi kemerdekaan.
31 Ogos 1957
Pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. SUMBER: BERITA HARIAN