KOTA BHARU | Penganjur yang mengadakan kejohanan Muay Thai perlu ada kesedaran dan menitik beratkan soal undang-undang dalam menganjurkan pertandingan Muay Thai.
Presiden Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, banyak kepincangan berlaku dalam setiap kejohanan yang diadakan.
Katanya, kebanyakkan penganjur tidak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh badan Muay Thai Pro Dunia.
“Saya melihat, walaupun syarat-syarat untuk menganjurkan kejohanan Muay Thai di Kelantan paling ketat berbanding negeri lain, namun insiden (kematian peninju) tetap berlaku.
“Dalam hal ini, kesedaran penganjur cukup penting sekali kerana kita tidak mahu ada unsur-unsur perjudian dalam pertandingan yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, selain itu, kefahaman pihak berkuasa tempatan (PBT) tentang status persatuan itu sendiri amat penting.
Katanya, terdapat banyak persatuan yang berlumba-lumba untuk menganjurkan kejohanan, namun status mereka perlu dipastikan.
“Untuk makluman ada persatuan bertaraf Amatur dan ada yg persatuan yang berstatus Professional peringkat negeri dan Malaysia.
“Malah, sekarang ini Pesuruhjaya Sukan (PJS) turut menerima permohonan kelab dan syarikat yang mahu menganjurkan kejohanan Muay Thai tanpa kerjasama persatuan negeri.
“Oleh itu, PBT jika ingin mengetahui status atau sebarang maklumat di minta merujuk kepada PJS,” katanya.
Ketua Urus Setia Luar 76 Wilayah Persatuan Muaythai di Negara Thailand itu berkata lagi, setiap penganjuran juga perlu memastikan tahap kecergasan peninju dalam kondisi yang baik sebelum bertanding.
Katanya, penganjur juga perlu menyediakan pegawai perubatan yang bertauliah mengendalikan perlawanan termasuk juga pengadil.
Ujarnya lagi yang paling penting adalah peninjuar luar negara mesti memasuki negara ini secara sah untuk bertanding.
“Oleh itu pentingnya bekerjasama dengan persatuan negeri kerana hanya mereka yang dapat menyediakan urusan kakitangan teknikal.
“Hal ini kerana persatuan telah diwajibkan untuk menyediakan pasukan perubatan termasuk ambulance sekira berlaku kejadian yang tidak dijangka kerana ini adalah sukan bertarung,” katanya.
Mohd Fared berkata, inilah akibatnya jika persatuan berebut untuk menjadi penganjur kejohanan.
Sedangkan katanya, mereka tidak ada prasarana untuk mengadakan kejohanan Muay Thai Profesional.
“Adakah penganjur menyediakan surat aku janji untuk peserta tandatangan supaya tanggung risiko sendiri? Juga semua persatuan yang mengaku Profesional perlu berdaftar dengan badan yang sepatutnya.
“Kita juga kena berkerjasama dengan badan-badan induk Dunia seperti World Muay Thai Federation (WMF); World Muay Thai Organization (WMO); World Boxing Council (WBC) dan World Professional Muay Thai Federation (WPMF) untuk buat perincian semula status pengadil, juri dan peninju yang mahu bertanding,” katanya.
Pada 14 Ogos lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang peninju Muay Thai warganegara Thailand menemui ajal selepas mengalami pendarahan dalam otak apabila tewas di tangan peninju tempatan dalam Kejohanan Muay Thai Ambang Merdeka 2022 di padang sebuah kolej di Kampung Che Deris, Badang di sini.
Mangsa, Mr. Kittichai Chaengkhao,28, meninggal dunia kira-kira pukul 10.57 pagi semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini selepas hampir 10 jam dirawat di unit kecemasan hospital itu.