PUTRAJAYA | Tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib Razak, pernah bertindak untuk melindungi dan memelihara kepentingan SRC International Sdn Bhd, seperti yang diwajibkan ke atasnya mengikut undang-undang.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, berhujah semua tindakan yang diambil bekas Perdana Menteri itu dalam syarikat pelaburan strategik terbabit, adalah untuk mencapai keinginan peribadinya yang menyebabkan keuntungan salah kepada dirinya dan kerugian salah kepada syarikat.
Katanya, niat jenayah Najib dilaksanakannya melalui pelbagai peranan.
“Najib ketika itu adalah perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC…Ia adalah jelas dan nyata bahawa beliau menggunakan semua peranan itu untuk meraih keuntungan kewangan melalui pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC.
“Ia adalah mens rea (niat jahat) perayu dalam melaksanakan hasrat jenayahnya dalam pelbagai kapasiti yang membolehkannya melakukan tujuh kesalahan yang dipertuduhan ke atasnya. Apa rancangannya terhadap berbilion wang yang dibekukan di bank Switzerland tiada siapa yang tahu.
“Niat tunggal perayu adalah untuk melakukan jenayah dalam pelbagai peranan yang dimainkan olehnya dalam pentadbiran negara dan dalam SRC,” katanya.
Sithambaram berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan akhir Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun serta denda RM210 juta bagi tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC.
Sithambaram berkata, tindakan Najib dalam mengeluarkan pelbagai arahan kepada pemegang saham menepati gambaran bahawa beliau mempunyai kawalan mutlak selaku Tok Dalang kepada bonekanya (Ahli Lembaga Pengarah) yang beliau (Najib) sendiri letakkan ketika melantik Lembaga Pengarah SRC.
Katanya, ia diibaratkan seperti Tok Dalang dengan bonekanya di mana semua Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu hendaklah mengikut ‘rentaknya’ (Najib) dalam urusan dan hal ehwal syarikat terbabit.
“Dalam apa jua keadaan,Perdana Menteri dan Penasihat Emeritus mempunyai kuasa ke atas SRC dan bukan pemegang saham SRC, pemegang saham tunggal pula ialah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang tidak lain adalah perayu sendiri.
“Keterangan yang dikemukakan jelas menunjukkan bahawa perayu mengatur hal ehwal SRC, di mana beliau diamanahkan dengan aset dan harta syarikat. Ini berlaku apabila beliau memegang jawatan perdana menteri daripada penubuhan SRC apabila mengeluarkan arahan kepda pemegang saham dan ia perlu diikuti oleh Lembaga Pengarah SRC.
“Peranan beliau diperkuatkan lagi dengan menyandang gelaran Penasihat Emeritus untuk mengukuhkan kedudukan mengawal syarikat itu yang membolehkan beliau mengarahkan Lembaga Pengarah selaku ‘tuan’ mereka,” katanya.
Sithambaram berkata, peranan kumulatif Najib dalam semua jawatan membuktikan bahawa beliau adalah minda yang mengawal di sebalik SRC.
Katanya, hakim perbicaraan membuat kesimpulan yang betul dalam penemuannya apabila membuat kesimpulan bahawa Najib sememangnya seorang ejen dan pengarah bayangan SRC.
Malah, pendakwa berhujah, kawalan Najib dalam SRC membolehkan beliau mengakses kepada sebarang jumlah dana syarikat itu pada bila-bila masa, malah tidak terhad kepada RM42 juta sahaja.
Hujahnya, penubuhan SRC adalah pelan yang disengajakan dan dirancang dengan teliti atas arahan Najib untuk meneruskan rancangan berterusannya menyalahgunakan dana syarikat itu bagi keuntungan peribadinya.
V Sithambaram berhujah, matlamat itu tercapai apabila wang berjumlah RM42 juta milik SRC dipindahkan ke dalam akaun Najib.
Beliau berkata, bukti yang dikemukakan pada perbicaraan menunjukkan rancangan Najib yang sudah difikirkan dengan sebaiknya untuk menubuhkan SRC bagi memajukan keperluan untuk mendapatkan dana bagi faedah peribadinya.
Katanya, hakim perbicaraan membuat kesimpulan yang betul bahawa skim yang dirancang oleh Najib menunjukkan perancangan untuk melakukan perbuatan rasuah bagi kepentingan peribadinya melalui penerimaan suapan.
“Hakim menilai dengan betul keterangan dan menyimpulkan empat perkara penting mengenai mengapa kepentingan Perayu adalah berleluasa sepanjang skim ini, iaitu kepentingan peribadi untuk menggunakan SRC bagi faedahnya dengan menggunakan kedudukan untuk mengekalkan kawalan menyeluruh terhadap SRC.
“Begitu juga penyertaan pada mesyuarat Kabinet yang meluluskan Jaminan Kerajaan (GG) dan menyebabkan pengeluaran yang cepat dan sepenuhnya untuk mendapat akses yang lebih besar kepada dana dalam syarikat itu.
“Selain itu, motivasi untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat Kabinet adalah bagi mewujudkan akses kepada semua dana SRC termasuk RM42 juta dan penerimaan dana itu secara langsung disebabkan oleh penyertaan perayu dalam mesyuarat Kabinet dan oleh itu ia rasuah yang diterima atas usaha mendapatkan GG daripada Kerajaan Malaysia untuk pinjaman yang diperoleh oleh SRC daripada KWAP,” katanya.
Hujahan di hadapan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bersambung esok.