KOTA BHARU | Gerak kerja sempena sambutan dua tahun penubuhan Perikatan Nasional (PN) pada petang Ahad ini dimulakan dengan solat hajat malam tadi.
Solat hajat diadakan selepas solat Isyak dipimpin Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Kelantan Zulqarnain Hassan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.
Hadir sama Setiausaha Politik Menteri Besar Mohd Asri Daud, Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO Zuraidin Abdullah serta Adun Pantai Irama Mohd Huzaimy Che Husin.
Turut kelihatan hadir pemimpin Bersatu Kelantan dan pimpinan PAS negeri.
Zulqarnain berkata, penganjuran solat hajat itu bagi memohon keselamatan dan supaya program tersebut berjalan lancar tanpa sebarang musibah yang tidak diingini.
“Kita hendak pastikan tiada apa-apa yang mendatangkan mudarat, kita memohon kepada Allah Taala agar program Ahad ini berjalan lancar serta mendapat sambutan masyarakat.
“Kita juga berharap rakyat Kelantan terutamanya pendukung PN dapat hadir beramai-ramai bagi mengukuhkan perpaduan demi kesatuan umat Islam dan Melayu,” katanya pada program tersbut.
Program Ahad ini bermula jam 4 petang yang menampilkan persembahan istimewa Suffian Suhaimi, Fendi Kenali, Den Manjo dan Fadi Turbo.
Selain itu diadakan himpunan anak muda bersama Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.
Selepas solat Maghrib diadakan kuliah disampaikan pendakwah bebas Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.
Program tersebut berakhir dengan forum yang menampilkan Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Menteri Pendidikan Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin.