KUALA SELANGOR | Barisan Nasional (BN) Selangor terutama komponen utamanya, UMNO akur dengan kepemimpinan pusat untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), walaupun ramai beranggapan parti itu tidak mampu menumbangkan Pakatan Harapan (PH) tanpa gabungan bersama Pas dalam penyatuan ummah.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, bagaimanapun pihaknya masih berharap jika di saat-saat akhir ada harapan bagi UMNO dan Pas di Selangor bergabung menewaskan PH untuk menawan kembali negeri ini.
“Saya di Selangor, kita ikut apa jua yang ditetapkan oleh atas dan aya percaya Pas pun akan ikut apa jua yang diputuskan oleh atasan, itu sahajalah. Saya rasa kita berdoalah, harap-harap ada harapan, kalau bolehlah (bersama Pas).
“Kita ikut arahan, katakanlah UMNO hendak pun kalau Pas pula turun wahyu dari atas kata solo, saya pun tak boleh buat apa. Apa pun saya percaya UMNO dan Pas di Selangor kita tunggu wahyu dari atas,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sekolah Rendah Islam Az-Zahrawi.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, UMNO tidak memberi sebarang autonomi kepada kepimpinan negeri dan bahagian untuk bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, ketetapan itu dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Mac lalu merangkumi keseluruhan negeri termasuk Selangor yang sebelum ini meminta kuasa autonomi diberikan sebagai usaha menewaskan PH pada PRU-15.
Dalam pada itu, Noh turut memaklumkan sehingga kini satu-satunya perhubungan negeri yang diberi autonomi oleh UMNO adalah Sabah, sementara negeri-negeri lain masih lagi berpegang kepada satu perlembagaan.
“Macam saya pun sama juga, kena walak dengan apa jua keputusan daripada peringkat atas, sebab perlembagaan kita dalam UMNO terutamanya yang ada autonomi adalah Sabah. Lain-lain negeri tak ada, kita pakai satu perlembagaan. Jadi, kita akur dengan apa juga yang termaktub dalam perlembagaan.
“Saya ingat semua parti macam itu, bukan sahaja UMNO, Pas, DAP, PKR akhirnya mereka kena akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan semua parti, saya ingat tak ada…akan akur sebab pucuk pimpinan diberi kuasa dalam perlembagaan untuk membuat apa jua keputusan,” jelasnya. – SUMBER: UTUSAN