LANGKAWI | Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu usahanya untuk memastikan penduduk kampung menerima geran hak milik tanah sejak menerajui kerajaan negeri pada Mei 2020.
Menteri Besar berkata, masih ramai penduduk termasuk di beberapa kampung yang belum mempunyai hak milik tanah.
Katanya banyak kampung termasuk di Langkawi penduduknya belum menerima geran hak milik walaupun mendudukinya lebih 20 tahun lalu.
“Tak patut sangat orang asal di kampung ini duduk menumpang atas tanah yang tidak tahu hak siapa kerana tiada surat hak milik,” katanya pada majlis penyerahan geran hak milik kepada penduduk Felcra Pantai Kok, Langkawi semalam.
Pada majlis itu seramai 35 penduduk Felcra Pantai Kok menerima geran hak milik setelah menantinya sejak 40 tahun lalu.
Menurutnya juga di Langkawi ramai pelabur mendirikan hotel dan sebagainya sehingga ada yang kaya-raya, namun penduduk tempatan masih di tahap lama.
“Anak jati Langkawi patut mempunyai tanah sama ada yang mewarisi tanah pusaka atau membeli sendiri.
“Saya tidak sanggup melihat penduduk Langkawi menumpang tanah milik orang lain yang dimiliki penduduk pulau ini,” tambah beliau.
Kata beliau komitmen itu bukan sebagai modal politik, sebaliknya menjadi impiannya sejak lebih dua tahun lepas.
Beliau berkata, keputusan itu diambil bukan sebagai modal pilihan raya malah sekiranya tiada pilihan raya pun ia tetap dilaksanakan.
Ujar Sanusi, beliau tidak memancing undi atas kebaikan yang dilakukan kepada rakyat.
“Apa yang saya lakukan adalah tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan.
Dahulu isu tanah jadi modal politik sehingga ada yang sebut undi ‘aku’ dapat geran.
“Saya akan usaha bagi geran. Tak undi parti saya pun tak apa. Kalau saya bagi geran lepas tu minta undi, itu rasuah geran namanya.
“Apa guna jadi menteri besar dan Exco kalau tidak boleh membela nasib rakyat. Di Langkawi sejak dahulu ramai tokoh politik sehingga ada yang jadi menteri besar tetapi nasib orang Langkawi macam tu juga,” ujar beliau.
Menurutnya usaha membela nasib rakyat dilakukan sejak Kedah ditadbir oleh almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak, namun setelah berlaku pertukaran kerajaan pada 2013 kerja-kerja berkenaan menjadi perlahan.
Oleh itu Sanusi akan memastikan penduduk kampung yang belum menerima geran hak milik mendapat hak tersebut sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – SUMBER: HARAKAHDAILY