KUBANG PASU | Sebanyak 600 bungkus bubur asyura berjaya diagihkan kepada warga Parlimen Kubang Pasu.
Program Asyura Perdana Kubang Pasu 2022 yang diadakan seawal jam 7 pagi itu menggunakan resipi tempatan yang menggabungkan bahan seperti pisang, ubi keledek, jagung, kacang, santan, garam, gula merah, gula dan tepung beras.
Gotong-royong memasak bubur Asyura ini mengambil masa selama lima jam sebelum diedar kepada peserta yang mengambil bahagian selain diagihkan kepada orang ramai.
Program ini dihadiri Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama Ketua Bahagian BERSATU Jerlun Abdul Ramli dan Cawangan BERSATU dari Bemban, Napoh, Batu 13, Wang Tepus, Taman Mahsuri, Kg Ketoi, Sintok, Lubuk Batu dan Malau.
Seramai 10 muslimat PAS turut hadir program ini.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata sebanyak enam kawah bubur Asyura dimasak secara bergotong-royong melibatkan 100 warga kerja keseluruhannya.
“Pengagihan bubur asyura ini bagi mengingatkan kita semua bahawa walaupun keadaan semasa dan ekonomi negara sedang dalam proses pemulihan, namun tiada alasan untuk kita tidak membuat program amal.
“Aktiviti ini mengeratkan ukhwah sesama kakitangan di samping memupuk keceriaan dalam program ini,” katanya.
Program ini berlangsung di hadapan perkarangan pejabat Wan Saiful Wan Jan, hari ini.
Penganjuran program ini mendapat sokongan Kelab Penyokong Perikatan Nasional (PN) Kubang Pasu dan Inisiatif Bina Bangsa (BINA).