KOTA BHARU | Seorang gadis autism yang dilaporkan hilang di Kulai, Johor pada Sabtu lalu sebelum ditemui di Kampung Sat, Tanah Merah dekat sini kelmarin dipercayai dirogol seorang guru al-Quran yang juga merupakan lelaki etnik Rohingya.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mengikut laporan mangsa, gadis yang berusia 16 tahun itu dirogol beberapa kali oleh suspek bermula hari Ahad hingga Khamis lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati, suspek berusia 23 tahun dan polis sedang membuat semakan mengenai kesahihan dakwaan yang mengatakan lelaki itu merupakan guru al-Quran.
“Polis sebelum ini menerima maklumat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai mengenai kes orang hilang. JSJ IPD Tanah Merah telah membuat serbuan di Kampung Sat berpandukan kedudukan mangsa yang sempat menghantar lokasinya melalui telefon bimbit kepada ahli keluarga.
“Polis telah menyelamatkan mangsa kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin dan gadis itu dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhamad Zaki, mengikut keterangan mangsa, suspek yang dikenali melalui aplikasi WhatsApp membawanya menaiki bas dari Skudai, Johor Bahru ke Tanah Merah kira-kira pukul 9.30 malam pada Sabtu lalu.
Katanya, mangsa juga memaklumkan dia dirogol beberapa kali oleh lelaki itu keesokan harinya sehingga Khamis lalu.
Tambahnya, lelaki Rohingya itu kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, kebimbangan sebuah keluarga yang kehilangan anak perempuan mereka di Kulai sejak Sabtu lalu berakhir apabila remaja itu ditemui selamat di Tanah Merah dekat sini kelmarin.
Keluarga mangsa mendakwa, gadis itu dikatakan tidak diberi makan secukupnya sepanjang tempoh itu selepas dibawa seseorang individu yang mereka tidak kenali. – SUMBER: KOSMO! ONLINE