MUMBAI, India | Seorang lelaki menjadi mangsa kecaman netizen apabila sebuah video memaparkan tindakannya menarik ekor harimau bintang tular di laman sosial, lapor stesen penyiaran NDTV baru-baru ini.
Dalam klip berdurasi 20 saat yang dikongsi oleh pegawai Perkhidmatan Hutan India (IFS), Parveen Kaswan di Twitter, seorang lelaki dilihat memegang ekor harimau bintang itu dengan kedua-dua belah tangannya.
Haiwan itu dilihat cuba melepaskan diri daripada cengkamannya tetapi gagal.
“Harimau bintang itu mati”, tulis teks pada video itu.
Lokasi di mana video itu dirakam tidak dapat dipastikan, namun menurut Parveen, dia mengecam perbuatan itu dan menegaskan bahawa haiwan liar tidak seharusnya diperlakukan sedemikian.
“Ini bukan cara untuk mengendalikan atau merawat rakan hidupan liar. Mereka juga makhluk hidup. Berhati-hati,” tulisnya.
Sejak disiarkan, klip itu telah menerima lebih daripada 73,000 tontonan. Ramai yang terkejut melihat harimau bintang itu diperlakukan sebegitu dan meluahkan rasa kecewa mereka. – sumber: Agensi