PASIR PUTEH | Mayat seorang lelaki ditemukan terapung dan tersadai di tepi batu berhampiran kuala di Batu Panjang, Kuala Tok Bali, Semerak, di sini, kelmarin.
Mayat berkenaan lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 11.45 pagi dan dua anggota polis telah ke tempat kejadian.
Katanya, sebaik sampai, polis mendapati satu mayat terapung dan tersadai di tepi batu berhampiran kuala Pantai Tok Bali.
“Dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, mangsa berjaya dibawa naik ke darat dan dalam pemeriksaan dapati lelaki itu dipercayai warga tempatan kerana mempunyai tanda suntikan BCG pada bahu sebelah kiri.
“Tiada sebarang kesan tinggalan jenayah dan melalui pemeriksaan lanjut tidak ditemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh bagi tindakan lanjut dan hasil pemeriksaan bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah ke atas tubuh badan lelaki itu.
Katanya, punca kematian adalah disebabkan lemas di dalam air dan diklasifikasi sebagai mati mengejut, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti dan mengesan ahli keluarga lelaki itu.
“Pihak Polis memohon orang ramai jika mempuyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk memaklumkan ke Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.