By Hidayah Azali
KOTA BHARU | Enam remaja ditangkap dan sebanyak 60 notis saman dikeluarkan menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan pada 18 hingga 19 Ogos.
Op berkenaan dilaksanakan di tiga daerah iaitu Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebanyak 60 notis saman di keluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, polis turut menyita lima motosikal iaitu sebuah Honda C70, sebuah Honda EX5 dan tiga buah Yamaha 125 ZR.
“Selain itu, tangkapan turut dibuat ke atas enam remaja berusia antara 14 hingga 19 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) di mana aksi tersebut amat merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Kegiatan merempit merupakan kesalahan yang serius mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 yang mana jika di dapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.
“Bagi kesalahan kali kedua, boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan denda RM10,000 hingga RM 20,000,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, ibu bapa juga akan disaman sekiranya membenarkan anak menunggang motosikal dengan tiada lesen atau bawah umur.
Pihak polis ingin menasihatkan kepada masyarakat di luar sana khasnya ibu bapa untuk memantau kegiatan atau aktiviti anak remaja apabila keluar menunggang motosikal bersama rakan terutama pada waktu petang dan malam antara jam 10 malam ke lewat pagi.