PUCHONG | Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan menawarkan tawaran baru kepada anak muda, khususnya dalam pengenalan semula Dasar Pekerjaan Negara, jika memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata beliau sedih apabila ada di kalangan anak muda memilih sektor ekonomi gig, seperti penghantar makanan, sebagai kerjaya dalam hidup.
Oleh itu, katanya, beliau mahu mengubah persepsi salah anak muda supaya mereka mendapat kerjaya tetap dengan pendapatan yang stabil.
“Saya tak nak lihat anak-anak muda pilih kerjaya sebagai penghantar makanan sebagai kerjaya dalam hidup.
“Sewaktu Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri, ada dua perkara kita nak bantu anak muda. Majlis TVET Negara dan Majlis Pekerjaan Negara.
“Saya sedih anak-anak muda pilih kerjaya tidak tetap menjadi pilihan utama. Bagi saya, itu salah. Saya mahu ubah persepsi ini di kalangan anak muda.
“Ia perlu dibuat pengenalan semua Dasar Pekerjaan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Konvensyen Mahasiswa Malaysia (KKM) 2022 di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahamd Fadhli Shaari.
Bertemakan ‘Membangun Siswa Demi Negara’, KKM 2022 menghimpunkan tokoh teknokrat anak muda dan ulama negarawan Malaysia.
Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Ketua Armada BERSATU turut menyentuh mengenai kadar kemasukan ke universiti di kalangan anak muda yang amat rendah.
Ini kerana, katanya, ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, beliau mendapati kadar kemasukan anak-anak muda ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) sangat membimbangkan.
“Bukan kerana Covid-19. Ini satu trend menjadi-jadi apabila pendidikan tinggi dilihat bukan satu keperluan lagi.
“Katakan setiap tahun, lepasan sekolah SPM ada 500,000 pelajar tapi yang masuk IPT mungkin 100,000 saahaja.
“Selebihnya, anak muda masuk dalam pekerjaan dan sebagainya. Inilah golongan belia terkesan yang dipanggil ‘belia rentan’.
“Sebenarnya, golongan mahasiswa di hadapan saya ini adalah golongan elit, yang menghimpunkan ilmu-ilmu pengajian.
“You are among the best, among 100,000 student yang terpilih masuk IPTA dan IPTS. Sebab itu, hanya di negara kita dan di Indonesia, di alam Melayu, gelaran mahasiswa dan siswi memang istimewa. Kita memang memandang tinggi jurubicara umat. Kalian membawa sejuta harapan anak muda yang pakar dalam bidang masing-masing.
“Bayangkan, kalaulah kita culas dalam tanggungjawab kita sebagai mahasiswa, kita mengorbankan tiang seri kekuatan agama, bangsa dan negara dalam berdepan cabaran yang cukup hebat di masa depan,” katanya yang turut berkongsi pengalamannya bergelar mahasiswa di Universiti Teknologi Petronas pada 2005-2009.