ALOR SETAR | Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan dianugerahkan Sandang Khalifah Penasihat Mahkota Alam yang merupakan penganugerahan tertinggi oleh Pertubuhan Warisan Pendekar Negeri Kedah.
Sandang Khalifah Penasihat Mahkota Alam ini disarungkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selaku Penaung Pertubuhan Warisan Pendekar Kedah sambil disaksikan guru-guru utama persilatan di seluruh Malaysia serta kerabat kesultanan Negeri Kedah.
Beliau juga menerima sepasang busana perang pimpinan tertinggi serta Keris Ulung Patani dan tanjak.
Gelaran ini membawa maksud Khalifah (pemimpin/ketua), dan warna sandang iaitu merah (berani, ganas, tegas), putih (hati yang bersih dan telus) dan hitam (kekuatan, kegerunan, berani).
Wan Saiful hadir di program sempena Majlis Anugerah Sanjung Budi Pendekar Kedah 2022, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Muhammad Sanusi turut menerima penganugerahan gelaran Khalifah Sri Tri Simanjakini.
Gelaran ini membawa maksud Khalifah (pemimpin/ketua), Sri Tri (pangkat/darjat), Simanjakini (ilmu/kharamahnya tersendiri).
Majlis istiadat ini diiringi dengan Gendang Perang dan keris istiadat serta irama persilatan Melayu lama Kedah Tua.