KUALA LUMPUR | Pelabur yang mencari saham pada harga rendah dijangka memberi tumpuan kepada kaunter perbankan, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan berikutan jualan besar-besaran baru-baru ini, seterusnya menaikkan indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah pagi ini, kata peniaga.
Pada 9.23 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 8.14 mata kepada 1,496.30 daripada 1,504.44 pada Jumaat.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.83 mata kepada 1,501.61.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 323 berbanding 137 manakala 249 kaunter tidak berubah, 1,619 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung. Jumlah dagangan sebanyak 248.13.34 juta unit bernilai RM143.43 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beliau menjangka pasaran akan bertambah baik hari ini dan berada dalam julat 1,500-1,515.
“Bagi pendapatan korporat yang diumumkan setakat ini, kami mendapati bahawa bank, pekebun, Real Estate Investment Trust (REIT) dan entiti pembuatan terpilih (teknologi serta makanan dan minuman) melaporkan pendapatan yang kukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa, Maybank dan Petronas Chemicals, masing-masing merosot empat sen kepada RM8.88 dan RM8.70 manakala Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing berkurangan dua sen kepada RM4.59 dan RM6.39.
Daripada saham aktif, Cnergenz naik 5.5 sen kepada 94 sen dan Agmo meningkat setengah sen kepada 81.5 sen manakala CSH Alliance merosot setengah sen kepada empat sen dan LGMS berkurangan dua sen kepada RM1.08.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 54.27 mata kepada 10,625.61, Indeks FBMT 100 susut 54.25 mata kepada 10,369.01, Indeks FBM Emas Shariah susut 49.47 mata kepada 10,766.12, FBM 70 turun 57.90 mata kepada 12,729.54 dan FBM ACE merosot 50.53 mata kepada 4,936.15.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 94.87 mata kepada 16,658.11, Indeks Perladangan susut 9.40 mata kepada 7,237.84, Indeks Tenaga merosot 0.02 mata kepada 671.33 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.0 mata kepada 182.74.
– SUMBER: Bernama