LANGKAWI | Maritim Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah kapal layar tanpa dokumen di sekitar perairan Langkawi, kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kapal layar itu ditahan semasa bersauh di 0.2 batu nautika timur laut Pulau Tuba.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kapal layar yang membawa dua pemilik kapal layar serta dua kru masing-masing berusia 46 hingga 56 tahun beserta lapan penumpang itu, gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk menjalankan aktiviti rekreasi di laut.
“Kapal layar tersebut dipercayai membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam atau ‘Sunset Cruise’.
“Kapal layar bersama kru dan pemilik bot kemudian ditahan dan dibawa masuk ke jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Maritim Malaysia menegaskan supaya semua pengusaha kapal layar yang menjalankan aktiviti ‘Sunset Cruise’ untuk mematuhi segala keperluan perlesenan, insuran dan keselamatan bagi menjaga keselamatan pelancong dan penumpang kapal layar.
Menurutnya, pihaknya juga mengingatkan pelancong supaya lebih peka untuk memilih pengusaha kapal layar yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.