KUALA LUMPUR | Semua agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) dikerah untuk bekerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melipat gandakan usaha untuk memastikan sekolah kekal menjadi sebuah institusi yang benar-benar selamat untuk anak-anak.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata KDN menyambut baik inisiatif portal aduan buli dan memandang serius perlakuan buli yang terjadi dalam sekolah.
“Saya percaya bahawa penglibatan aktif semua pihak mampu untuk mewujudkan persekitaran alam persekolahan yang lebih baik untuk anak-anak kita menimba ilmu dan membentuk sahsiah yang terpuji,” katanya.
“Generasi baharu beranggapan buli itu perkara biasa dan sebab itu kita ingin buli ini dikurangkan. Saya setuju polis beri penekanan untuk turun ke sekolah untuk beri lebih banyak penerangan,” katanya.
Baru-baru ini, Hamzah hadir bersama Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam Majlis Pelancaran Inisiatif Sekolah SEJAHTERA: Sepakat & Selamat dan Portal Aduan Buli bertempat di SMK Putrajaya Presint 14(1).
Khamis lalu, portal aduan buli dilancarkan bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada Kementerian Pendidikan.
Portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli itu menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah, katanya.
Saluran tersebut adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), e-mel (adubuli@moe.gov.my) atau aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM yang tersedia di portal aduan itu.
Sementera itu, Mohd Radzi berkata sebanyak 122 kes buli yang disabitkan kesalahan di seluruh negara direkodkan antara Januari dan Julai tahun ini.
Radzi dalam ucapannya pada majlis itu menegaskan yang KPM tidak akan berkompromi dalam isu buli dan pihak sekolah juga telah diarahkan untuk tidak menyembunyikan kes buli di tempat mereka.