KOTA BHARU | Pewartaan had umur belia yang diturunkan kepada 30 tahun akan dilaksana selepas mendapat persetujuan semua pihak berkaitan, termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM).
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kementerian akan mengadakan pertemuan semula dengan MBM berhubung perkara itu dan memastikan semua pihak bersetuju sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Pewartaan ini adalah untuk membolehkan semua persatuan belia sukan yang masih belum mengadakan pemilihan supaya bersedia mengadakannya.
“Hujung tahun ini saya perlu kembali berjumpa dengan MBM dan pastikan semua orang bersetuju mengenai perkara ini yang kita tetap wartakan seperti yang diputuskan di Parlimen.
“Setiap tindakan yang kita buat tak mahu membelakangi MBM dan apabila sudah dapat persetujuan serta semua persatuan sudah adakan pemilihan, bolehlah kita ambil tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas sesi Townhall Bersama Komuniti Belia dan Sukan Kelantan di sini, hari ini.
Pada 17 November lalu, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen bahawa pelaksanaan had umur individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun bermula 1 Januari lalu, namun pelaksanaannya kemudian ditangguhkan selepas perbincangan dengan kepimpinan MBM dan pihak berkepentingan.
Sebelum ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia meminta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan had umur itu dan memerlukan kerangka masa ‘soft landing’ sebelum mewartakan Akta Pembangunan Belia dan Pertubuhan Belia 2007.