KOTA BHARU | Himpunan Perikatan Nasional (PN) sempena Ulang Tahun ke-2 pakatan itu disambut meriah lebih 15,000 penyokong yang membanjiri Dataran Warisan Stadium Muhammad IV sejak jam 4 petang tadi.
Laungan ‘Takbir’ bergema sebaik saja Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tiba untuk majlis pelancaran bersama Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di dataran berkenaan.
Walaupun hujan renyai sejak petang tadi, namun penyokong tetap setia menunggu untuk menyambut ketibaan pucuk kepemimpinan untuk majlis itu.
Selain gimik penyerahan panji kepada Srikandi PN Kelantan, Forum ‘Rakyat Sepakat, Kelantan Prihatin’ turut diadakan dengan menampilkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah sebagai panel.
Ahmad Yakob dalam ucapannya berkata, kewujudan banyak parti politik di negara akan menyebabkan matlamat untuk menjaga rakyat sukar dicapai jika masing-masing ‘berlawan’.
Justeru, beliau menyeru kepada penyokong supaya mengambil langkah perpaduan dan kesatuan antara parti politik menerusi pembentukan PN.
“Kita tahu seandainya parti politik terlalu banyak ditubuhkan, mereka tidak akan ada kesedaran apabila masing-masing saling berjuang.
“Sebab itu kita ada PN kerana kita tidak mahu ada lagi ketirisan, rasuah, penipuan serta salah guna kuasa memandangkan kita mempunyai pemimpin yang hebat menerajui pakatan seperti mana ada pada zaman Nabi Muhammad SAW.
“Kita nak himpunan malam ini diadakan untuk kita sama-sama memikirkan jalan keluar daripada suasana kemelut (banyak parti ‘berebut’) kepada suasana aman dan damai,” katanya.