KOTA BHARU | PAS tetap menjadi pilihan rakyat termasuk bukan Islam sejak 1990 sehingga sekarang kerana berjaya mengetengahkan pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab terhadap rakyat.
Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, masyarakat Cina pernah memberitahunya mereka memilih PAS kerana mahu pemimpin yang baik memimpin negeri.
Katanya kalau mereka mahu pembangunan sudah tentunya bukan PAS yang disokong.
“Sebaliknya mereka menyokong juga PAS kerana mahu pemimpin yang bersih dan amanan mentadbir kerajaan. Malah sehingga sekarang terbukti Kelantan sifar rasuah.
“Lagipun rakyat tahu Kelantan ketinggalan dalam aspek pembangunan kerana berdepan dengan diskriminasi politik sejak 1959 sehingga Februari 2020,” katanya pada forum sempena sambutan ulangtahun kedua Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Turut bertindak sebagai panel pada forum tersebut Menteri Kanan Pendidikan Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin. Manakala Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed bertindak sebagai moderator.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan yang ditadbir PAS sentiasa berada dalam tekanan.
“Setiap lima tahun sekali Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) menghantar laporan kepada kerajaan Pusat mengenai cadangan projek pembangunan di negeri itu.
“Namun apa yang berlaku Kelantan sering didiskriminasi. Biar pun berdepan diskriminasi, namun kerajaan PAS Kelantan mampu bertahan sehingga sekarang,” ujarnya.
Katanya, rahsia kejayaan itu kerana dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dirintis arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi banyak kebaikan kepada rakyat.
Selain itu kata beliau faktor kefahaman Islam dalam kalangan rakyat sejak dahulu sehingga dikenali sebagai Serambi Mekah.
Sementara itu Mohd Amar juga berkata, biarpun berdepan dengan diskriminasi politik dalam tempoh lama, namun PAS sanggup melupakannya bagi membina semula kekuatan politik orang Melayu.
Kata beliau PAS masih berharap dapat mewujudkan persefahaman dengan Umno bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita berharap tidak berlaku pertembungan tiga penjuru sekurang-kurangnya dengan adanya persefahaman,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut.
Beliau berkata, persefahaman itu perlu kerana PAS tidak mahu PH menang pada PRU15 apabila berlaku pertembungan tiga penjuru.
Bagaimanapun kata beliau berdasarkan rekod pertembungan tiga penjuru di Kelantan, PAS masih mampu bertahan.
Malah kata beliau PAS bersedia dengan segala kemungkinan termasuk menerima keputusan Umno yang mahu bergerak secara solo pada PRU15. – sumber: HARAKADAILY