SEREMBAN | Perikatan Nasional (PN) boleh melakarkan kejutan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini dengan memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, berdasarkan situasi semasa di peringkat pusat, PN yang melibatkan gabungan parti BERSATU, PAS dan Gerakan dijangka bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.
Jelas beliau, walaupun PN tentunya akan berdepan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang kini membentuk kerajaan negeri dan juga saingan daripada Barisan Nasional (BN), PN dilihat mempunyai peluang seimbang untuk mencipta kejutan termasuk dengan faktor kehadiran lebih 200,000 pengundi baharu.
“Jika ditanya dengan gabungan parti lain pun, mereka tentu mahu mentadbir mana-mana negeri. PN juga ada sasaran untuk ambil alih Negeri Sembilan daripada PH dan menerusi rancangan itu kami mesti dapat sekurang-kurangnya 19 kerusi daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.
“Ia bukan angka yang mustahil, situasi sekarang adalah seimbang apatah lagi di Negeri Sembilan akan ada lebih 200,000 pengundi baharu semasa PRU15 nanti. Saya rasa akan lebih tertekan tentunya PH yang kini mereka mentadbir kerajaan negeri, mereka tidak tahu sokongan pengundi baharu ini akan ke arah mana.
“DAP akan berdepan lebih masalah, daripada 11 kerusi DUN yang dimenangi mereka sekarang, separuh daripadanya mereka akan melibatkan jumlah pengundi baharu yang besar, sukar untuk jangkakan trend sokongan nanti,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Nazree yang juga Setiausaha Badan Pimpinan Negeri BERSATU Negeri Sembilan menambah, sehingga setakat ini PN di Negeri Sembilan memang menumpukan dan memasang strategi untuk meletakkan calon di kesemua kerusi yang dipertandingkan.
“Secara umumnya memang kami perlu bertanding di kesemua kerusi, melainkan di saat akhir ada sesuatu yang diputuskan di peringkat Pusat, tentu akan ada pengurangan jumlah kerusi tersebut.
“Jika diputuskan PN akan bersama mana-mana gabungan, kami akan ikut dan sekiranya jika diputuskan kami bergerak sendiri, mahu tidak mahu kami bersedia di lapan buah Parlimen dan 36 kerusi di Negeri Sembilan,” katanya lagi yang memberitahu PN kini dalam peringkat menamakan beberapa orang calon di setiap kerusi terbabit sebelum ia diputuskan oleh kepemimpinan Pusat.
Dalam pada itu beliau berkata, keputusan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini tidak boleh menjadi indikator keputusan serupa juga akan berlaku semasa PRU15 termasuk di Negeri Sembilan.
“Di PRN melaka, pengundi baharu tidak masuk dalam daftar pengundi, di Johor ia terlibat tetapi peratus yang keluar mengundi adalah rendah, tiada mana-mana parti pun boleh mengatakan pengundi yang keluar mengundi mereka adalah tinggi,” katanya lagi.