Kemenangan 2-1 yang tidak dijangka Manchester United mengatasi seteru lama, Liverpool dalam Liga Perdana di Old Trafford, semalam, mengubah rentak bantahan peminat terhadap pemilik kelab itu menjadi malam perayaan yang jarang berlaku.
Prestasi United yang jauh lebih baik untuk mata pertama hasil jaringan Jadon Sancho dan Marcus Rashford, menyebabkan Liverpool kendalian Juergen Klopp, gagal mendapat sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan pertama dan hanya meraih dua mata.
Kemenangan itu juga adalah yang pertama buat Pengurus United dari Belanda, Erik ten Hag yang berani meninggalkan Cristiano Ronaldo dan kapten kelab, Harry Maguire di bangku simpanan.
“Saya gembira dengan persembahan pemain, tetapi kami perlu melakukannya setiap perlawanan. Bukan hanya menentang Liverpool. Setiap perlawanan Liga Perdana adalah sukar. Ia bermula, sekali lagi dengan semangat,” kata Ten Hag.
Selepas kekalahan memalukan 4-0 di Brentford, minggu lalu menjadi tanda tanya besar terhadap pemilik kelab, keluarga Glazer yang berpangkalan di Florida. Sebahagian penyokong menyuarakan bantahan supaya keluarga Glazer menjual kelab itu.
Kegagalan perpindahan United juga dikritik, tetapi sebelum perlawanan bermula, pemain baharu dari Real Madrid, Casemiro, diumumkan kepada peminat. Namun tepukan mengalu-alukan ketibaannya ditenggelami nyanyian anti-Glazer.
Sokongan dan bantahan yang aneh kekal sepanjang perlawanan, tetapi persembahan United yang terbaik sejak lebih setahun lalu mengubah suasana malam itu.
Sancho meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-16, menunjukkan ketenangan yang hebat apabila mengutip tolakan ke belakang Anthony Elanga, meninggalkan James Milner di bahagian belakangnya dan kemudian memasukkan bola ke sudut bawah.
Christian Eriksen dinafikan gol kedua untuk pasukan Ten Hag dengan sepakan percuma melencong yang disentuh penjaga gol, Liverpool Alisson Becker dari sudut atas, tetapi United melebarkan kedudukan selepas rehat.
Kesilapan Jordan Henderson membolehkan pemain gantian, Anthony Martial memberi ruang kepada Rashford yang dengan tenang melepasi Alisson pada minit ke-53 untuk gol liga pertamanya sejak Januari.
Henderson adalah antara bahagian tengah yang lemah bersama James Milner dan Harvey Elliott, tetapi Liverpool tidak mempamerkan prestasi sebenar sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, Liverpool meraih satu gol pada minit ke-81 apabila sepakan Fabio Carvalho ditepis oleh David De Gea hanya untuk Mohamed Salah bertindak pantas menjaringkannya.
Terdapat banyak perkara yang melegakan Ten Hag, terutama prestasi Rashford yang kembali menjaringkan gol, tetapi dia pasti akan gembira dengan persembahan positif dua pemain barunya.
Lisandro Martinez menyerlah di bahagian tengah pertahanan bersama Raphael Varane yang dipanggil semula manakala Tyrell Malacia sentiasa tabah.
“Kita boleh bercakap tentang taktikal, tetapi ini semua soal sikap, komunikasi dan semangat juang,” kata Ten Hag.
“Saya mahukan pendekatan yang berbeza dan sikap yang berbeza. Itulah yang mereka bawa di atas padang. Ia hanya satu permulaan. Kami boleh bermain dengan lebih tenang dan bahaya. Jadilah satu pasukan dan mempunyai semangat yang baik. Itulah yang kita lihat hari ini,” katanya.
Terdapat sedikit kegelisahan buat pasukan tuan rumah selepas Liverpool menjaringkan gol, tetapi mereka berpegang teguh dan penyokong United, yang memulakan malam dengan menentang pemilik mereka, keluarga Glazer, pulang ke rumah dalam suasana perayaan. SUMBER: AGENSI