PUTRAJAYA | “Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya, tetapi nampaknya setiap usaha yang dimohon kepada mahkamah telah ditolak”.
Demikian kenyataan dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tatkala keluar dari Mahkamah Persekutuan untuk menemui penyokongnya yang berada di luar Mahkamah Persekutuan tadi.
“Untuk penyokong-penyokong, saya ucap terima kasih kerana telah hadir untuk memberi sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada saya.
“Saya telah berusaha sedaya upaya, tapi nampaknya setiap apa yang saya pohon daripada mahkamah telah ditolak,” katanya tadi.
Katanya, beliau tidak tewas dalam kes tersebut sebaliknya menyifatkan tidak mendapat keadilan memandangkan tiada seorang peguam mewakili beliau dalam tempoh masa secukupnya untuk membuat persediaan.
“Kali pertama dalam masa saya didakwa ini, saya minta penangguhan selama tiga bulan, tetapi itu pun telah ditolak. Kes lain mereka dapat penangguhan lebih daripada 70 kali, tetapi kes saya, sekali minta pun tidak diizinkan.
“Sekarang ini, kita tunggu apa-apa keputusan. Kalau keputusannya buruk (hari ini), saya minta maaf, apa yang penting sekali perjuangan kita perlu diteruskan,” jelasnya.
Pada masa sama, Najib juga meminta penyokongnya meneruskan perjuangan dan terus mendoakan perbicaraannya.
Terdahulu, Najib meluangkan masa kira-kira lima minit bagi berjumpa dengan penyokong beliau yang setia berada di luar mahkamah sejak pukul 8 pagi tadi.
Susulan kenyataan Najib itu, ada penyokong yang kelihatan menangis selain melaungkan perkataan zalim merujuk kepada keputusan dibuat mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Bagaimanapun, prosiding terhadap Najib masih diteruskan buat masa ini dan tiada keputusan rasmi dikeluarkan Mahkamah Persekutuan berhubung kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn. Bhd. setakat ini. – SUMBER: KOSMO! ONLINE