AMERIKA SYARIKAT | Teleskop Angkasa James Webb Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) menangkap imej baharu planet Musytari, sekali gus memberi lebih banyak petunjuk kepada saintis mengenai kehidupan di planet itu.
Planet Musytari sebelum ini dikenali dengan adanya ribut gergasi, angin kencang dan keadaan suhu serta tekanan yang melampau.
Ahli astronomi planet yang juga profesor emeritus Universiti California, Berkeley, Imke de Pater, berkata mereka tidak menjangkakan penemuan yang sebaik itu.
Beliau mengetuai pemerhatian Musytari bersama Thierry Fouchet, seorang profesor di Balai Cerap Paris, dan ia adalah sebahagian daripada kerjasama antarabangsa untuk program Sains Siaran Awal Webb yang diketuai oleh NASA dengan rakan kongsinya, Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Agensi Angkasa Kanda (CSA).
“Sungguh luar biasa dan kita dapat melihat butiran mengenai Musytari termasuk cincinnya, satelit kecil, dan juga galaksi dalam satu imej,” katanya.
Kedua-dua imej itu hadir melalui balai cerap Kamera Inframerah Dekat (NIRCam), yang mempunyai tiga penapis inframerah khusus yang mempamerkan butiran planet itu.
Memandangkan cahaya inframerah tidak dapat dilihat oleh mata manusia, ia dipetakan pada spektrum yang boleh dilihat.
Secara amnya, panjang gelombang terpanjang kelihatan lebih merah dan panjang gelombang terpendek ditunjukkan sebagai lebih biru.
Saintis bekerjasama dengan saintis warganegara, Judy Schmidt untuk menterjemah data Webb ke dalam imej.
Bintik Merah Besar, ribut terkenal yang sangat besar sehingga boleh menelan Bumi, kelihatan putih dalam pemandangan ini, begitu juga awan lain, kerana ia memantulkan banyak cahaya matahari.
“Kecerahan di sini menunjukkan altitud tinggi – jadi Bintik Merah Besar mempunyai jerebu altitud tinggi, begitu juga kawasan khatulistiwa.
“Banyak ‘tompok’ dan ‘jalur’ putih terang berkemungkinan adalah puncak awan yang sangat tinggi daripada ribut perolakan pekat. Reben gelap di utara kawasan khatulistiwa mempunyai sedikit litupan awan,” kata Heidi Hammel, saintis Webb untuk pemerhatian sistem suria yang juga naib presiden sains di AURA.
Dalam pandangan yang luas, Webb melihat Musytari dengan cincin samarnya, yang sejuta kali lebih samar daripada planet itu termasuklah dua bulan kecil yang dipanggil Amalthea dan Adrastea. – SUMBER: AGENSI