KOTA BHARU | Seorang peniaga yang menjual minyak masak botol 5 kilogram (kg) dengan harga RM41.90 yang melebihi harga siling diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, semalam.
Tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan ia hasil aduan secara rasmi yang diterima KPDNHEP mengenai sebuah premis runcit di Jalan Kuala Krai-Kadok, Ketereh, di sini.
KPDNHEP menerusi satu kenyataan memaklumkan, sepasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan membuat siasatan terhadap aduan itu.
Katanya, sebelum tindakan kes dihasilkan, pasukan membuat risikan awal dan penyamaran sebagai pembeli terhadap barangan yang diadukan itu petang semalam.
“Dalam pembelian tersebut, pasukan telah membuat bayaran terhadap minyak masak botol kuantiti 5 kg yang dijual RM41.90 beserta resit belian.
“Seterusnya pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan di premis berkenaan dan mendapati minyak masak botol 5 kg dijual dengan harga RM41.90 dan melebihi harga siling runcit yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Pasukan telah menyita lima unit minyak masak botol kuantiti 5 kg dari seorang lelaki warganegara asing berusia 40-an disyaki pemilik bersama premis tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Menurutnya, tindakan kes diambil dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, menjual barangan harga terkawal melebihi harga siling runcit yang ditetapkan kerajaan.
Untuk rekod, bermula 8 Ogos hingga 7 September 2022 harga siling runcit minyak masak tulen kemasan botol seluruh Malaysia yang ditetapkan kerajaan bagi 1 kg ialah RM7.70, 2 kg RM14.70 dan 3 kg RM21.70, manakala 5 kg adalah RM34.70 sebotol.