SHAH ALAM | Biro Perundangan dan Perlembagaan BERSATU Malaysia menganjurkan Sesi Kopi & Undang-Undang bertajuk “Perspektif dan Harapan: Institusi Kehakiman di Malaysia” di sini, pada Selasa.
Sesi itu menampilkan panel jemputan, iaitu Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Muhammad Hafiz Hood dan Peguambela dan Peguamcara, Tuan Taufiq Affandy Chin.
Program yang dijangka dihadiri 30 peserta, mendapat sambutan hangat apabila sekitar 60 peserta yang hadir.
Naib Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata Sesi Kopi & Undang-Undang merupakan sesi kali pertama dijalankan dengan fokus membincangkan mengenai aspek perundangan negara.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan BERSATU Malaysia berkata, pendedahan mengenai aspek perundingan perlu dalam memupuk lebih ramai rakyat celik undang-undang.
“Alhamdulillah, ini kali pertama sesi ini dianjurkan. Tak sangka terlebih full house, sekitar 60 orang.
“Topik yang dibincangkan pada sesi pertama ini pun menarik. Kebetulan, hari ini Mahkamah Persekutuan telahpun membuat keputusan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Datuk Seri Najib Razak.
“Banyak persoalan yang ditimbulkan dari segi aspek perundangan dan institusi kehakiman.
“Saya menyeru kepada pengamal undang-undang di luar sana untuk menjadi sukarelawan di bawah biro kami di setiap negeri bagi memberi penerangan berkaitan dengan undang-undang,” katanya kepada Penerangan BERSATU Malaysia.
Program itu dihadiri Exco Armada BERSATU Malaysia Mohamad Siddiq Azani, menjadi moderator sesi ini, dan Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja), Nurul Fadzilah Kamaluddin.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata sesi kedua program ini akan dirasmikan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis yang akan diselaraskan kelak.