KUALA LUMPUR | Tidak ada istilah tahanan politik kerana pendakwaan di mahkamah berdasarkan jenis klasifikasi jenayah yang dibuat oleh tertuduh.
Menurut Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Muhammad Hafiz Hood, tahanan politik ini adalah naratif yang dicipta oleh sesuatu pihak untuk mengkritik pihak yang menjadi kerajaan ketika seseorang pemimpin itu didakwa.
“Kita dah menyaksikan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, ada tangkapan yang dibuat. Bila Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, ada juga tangkapan dibuat di mana pihak yang jadi mangsa akan cakap ini adalah pendakwaan terpilih atau menjadi tahanan politik,” katanya ketika menjadi panel Sesi Kopi & Undang-Undang bertajuk “Perspektif dan Harapan: Institusi Kehakiman di Malaysia” di sini, pada Selasa.
Sesi kali pertama itu anjuran Biro Perundangan dan Perlembagaan BERSATU Malaysia.
Menyentuh mengenai signifikan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini terhadap Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah dan diperintah menjalani hukuman penjara, Muhammad Hafiz berpandangan ini menunjukkan tiada ada tahanan politik.
Ini kerana, katanya, hakim mahkamah menjatuhkan keputusan itu dalam keadaan Perdana Menteri adalah daripada UMNO.
“Isu pendakwaan terpilih dan isu tahanan politik, tidak wujud. Ini adalah naratif yang dicipta untuk kegunaan politik.
“Pendakwa jika nak mendakwa seseorang mestilah berdasarkan kepada kesalahan undang-undang,” katanya.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.
Mengulas mengenai persepsi rakyat terhadap sistem kehakiman negara, beliau berkata hanya integriti mahkamah sahaja yang boleh menyelesaikan masalah ini.
Katanya, penyokong-penyokong tegar kepada tertuduh akan berasa mahkamah tidak adil jika keputusan itu tidak berpihak kepada mereka.
“Tugas kita adalah memperbetulkan integriti, membetulkan nama baik dan kredibiliti mahkamah.
“Mahkamah buat keputusan ikut fakta.
“Pada ketika hakim membuat penghakiman, penyokong-penyokong mahu tertuduh itu tidak bersalah baru mereka kata mahkamah itu adil tetapi kalau bersalah, mereka kata mahkamah tidak adil.
“Dari situlah idea tahanan politik itu datang,” katanya.