LUMUT | Sebanyak 50 set bubu naga dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak di 2.7 batu nautika barat Tanjung Hantu, Perak, kelmarin.
Bubu naga berkenaan dirampas menerusi rondaan Op Pintas dan Op Sayong pada sekitar jam 12.30 tengah hari.
Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan kewujudan bubu naga di sekitar perairan Tanjung Hantu.
Katanya, kesemua 50 set bubu naga yang dijumpai itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Perak untuk tindakan lanjut.
“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan pemasangan apa-apa belat ikan, peralatan perikanan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan tanpa lesen.
“Berdasarkan rekod, sejak Januari hingga Julai lalu, sebanyak 680 set bubu naga dengan anggaran rampasan sebanyak RM75,360 telah direkodkan menerusi pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan perairan Kuala Kurau, Pulau Talang dan Pantai Remis.
“Penggunaan bubu naga secara berleluasa oleh pihak tidak bertanggungjawab di perairan Perak boleh mengganggu habitat marin untuk jangka masa panjang,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, ia akan menyebabkan ekosistem marin terancam terutamanya ikan-ikan kecil di pesisir pantai dan boleh mengakibatkan kepupusan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.