KUALA LUMPUR | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan berhubung skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).
Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau memandang serius penemuan laporan audit forensik yang telah diterbitkan mengenai skandal LCS yang antara lain menimbulkan dakwaan penglibatan seorang Menteri daripada BERSATU dalam skandal itu.
Katanya, menteri berkenaan telah mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan beliau.
“Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip integriti dan ketelusan, BERSATU menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan ini sekiranya berasas.
“Seperti pandangan yang pernah saya lontarkan sebelum ini, kabinet wajar menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal ini dengan lebih menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Terdahulu, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS, adalah isterinya.
Dr Abd Latiff berkata, beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.